Ahad, 12 Julai 2009

Konsep Bius


Anestetik atau dalam bahasa mudahnya, bius amat biasa digunakan dalam pembedahan besar ataupun kecil. Menurut Pakar Runding Anestetik, Hospital Tawakal, Kuala Lumpur, Dr. Abd. Hakim Mohamad, ubat bius dihasilkan daripada dadah jenis barbiturat, benzodiazepins atau ketamine tetapi dalam dos yang dibenarkan. Risiko akibat bius selalunya berlaku disebabkan beberapa keadaan seperti penyaluran oksigen yang tidak mencukupi kepada pesakit.

Selain itu, pesakit yang terlalu sensitif dengan ubatan akan mengalami kesan sampingan seperti ‘tidur’ yang boleh mencecah sehingga beberapa hari serta kebingungan. Menurut Dr.Abd.Hakim Mohamad lagi, "selagi ubat bius itu tidak keluar melalui saluran kencing, pesakit akan tidur. Lama atau singkat bergantung kepada keadaan tubuh pesakit", katanya yang juga mengakui kaedah pembiusan setempat merupakan alternatif terbaik dalam kebanyakan kes pembedahan separa kritikal.

Sebenarnya, dos yang diberikan cukup untuk membuatkan bahagian yang perlu dibedah, kebas dan seterusnya langsung tiada rasa sakit. Bius juga menyebabkan semua otot mengendur, begitu juga fikiran. Ini memudahkan doktor mengawal tubuh pesakit. Terdapat dua kaedah bius yang biasa digunakan antaranya anestetik umum. Kaedah ini merujuk kepada bius seluruh badan pesakit. Ia digunakan bagi pembedahan major yang melibatkan bahagian kepala seperti membuang darah beku, kanser di bahagian perut, dada atau pembuangan apendiks yang telah pecah. Seterusnya anestetik setempat iaitu melibatkan pembedahan separa kritikal seperti patah anggota tangan dan kaki, serta ketumbuhan kecil. Terdapat beberapa anestetik setempat antaranya Analgesia iaitu pesakit dibiuskan secara keseluruhan namun masih mampu memberi respons khusus terhadap ulangan atau simulasi kesakitan. Pesakit kadangkala tidak mampu bernafas. Seterusnya analgesia separuh iaitu ubat bius yang diberikan tetapi pesakit mampu memberi respons kepada arahan verbal. Seterusnya Anxiolysis yang merujuk kepada bius tahap sederhana yang membolehkan pesakit bertindak balas pada arahan lisan secara normal walaupun konsentrasi, memori dan koordinasi tidak seimbang. Pesakit juga tidak memerlukan bantuan pernafasan.