Khamis, 6 Ogos 2009

Bius Bagi Kanak-kanak


Bagi kanak-kanak, saat yang paling menakutkan mereka ialah apabila mereka perlu tidur ketika pembedahan dilakukan. Walaupun masih kecil, mereka tahu pembedahan adalah satu prosedur ‘besar’ dan rumit di dalam bilik khas yang dipenuhi pelbagai peralatan.Sama seperti orang dewasa, melihat peralatan yang banyak itu saja sudah boleh menakutkan mereka.Mana-mana ibu bapa kan merasa resah apabila melihat anak kesayangan mereka disorong masuk ke dewan bedah. Keresahan yang mereka rasa sebenarnya bermula jauh lebih awal tatkala dimaklumkan si kecil perlu menjalani pembedahan bagi merawat penyakitnya. Namun, ibu bapa tidak boleh menunjukkan keresahan dan kebimbangan mereka di depan anak-anak kerana ia boleh mempengaruhi jiwa dan semangat anak-anak.

Kanak-kanak bukan individu dewasa yang kecil. Tindak balas terhadap rawatan ditunjukkan kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa. Sebarang ubat, termasuk ubat bius, yang hendak diberi perlu dikira dengan teliti mengikut nisbah berat badan pesakit. Bagaimanapun, bukan mudah untuk membuat kanak-kanak ini berasa selesa. Kaedah memberi kaunseling kepada orang dewasa sebelum pembedahan tidak dilakukan kepada kanak-kanak kerana mereka tidak faham. Kaunseling hanya akan diberi kepada ibu bapa atau penjaga untuk menenangkan hati mereka. Pesakit kanak-kanak akan ditemani ibu bapa ketika dibawa melawat ke bilik bedah supaya mereka tahu di situlah pembedahan yang akan dijalankan keatas mereka. Kita faham kebimbangan yang dirasai pesakit seisi keluarga. Ini sebabnya doktor dan pakar bius perlu membina hubungan baik dengan mereka.

Sebelum melakukan apa-apa pembedahan,sejarah kesihatan pesakit kanak-kanak perlu diselidik terlebih dahulu dan mereka perlu bebas daripada batuk sekurang-kurangnya selama dua minggu sebelum pembedahan dijalankan. Pakar bius akan menerangkan seluruh proses pembiusan, termasuk jenis bius yang digunakan, bagaimana ia bertindak dan berapa lama ia bertahan. Kebenaran ibu bapa amat diperlukan sebelum sebarang ubat bius diberi kepada pesakit. Bagi memudahkan ibu bapa, para doktor akan menulis semua maklumat seperti prosedur pembiusan, arahan di wad, keperluan berpuasa dan hasil pemeriksaan ke atas pesakit. Malah, ibu bapa boleh menghubungi doktor bedah atau pakar bius pada bila-bila masa jika ada kemusykilan terhadap pembedahan yang akan dijalankan keatas anak mereka.

Kanak-kanak yang sakit akan lebih sensitif terhadap persekiran mereka dan boleh mengesan jika ibu bapa mereka berasa sedih atau bimbang. Oleh itu para ibu bapa tiddak seharusnya menunjukkan keresahan mereka di depan si kecil kerana ia hanya membuatkan anak menjadi lebih takut. Ibu bapa perlu bersikap positif apabila berdepan si kecil. Pada masa sama, ibu bapa juga perlu bersedia menjawab pelbagai soalan yang mungkin dikemukakan oleh si anak. Ibu bapa perlu berbincang dengan doktor terlebih dahulu bagi mengatasi keadaan ini kerana apabila sering bersedih, ibu bapa tidak dapat memberi jawapan sebaik-baiknya. Persediaan pembiusan ada tiga peringkat iaitu sebelum, ketika dan selepas pembedahan. Tempoh pembedahan bergantung kepada penyakit setiap kanak-kanak, tetapi biasanya ia mengambil masa antara 30 hingga 45 minit. Pembedahan lebih besar dan rumit seperti jantung mengambil masa lebih lama sehingga beberapa jam. Kematian di bilik bedah mungkin akan berlaku. Oleh itu ibu bapa perlu bersedia dari segi mental dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan