Rabu, 5 Ogos 2009

Kepakaran Dalam Membius Pesakit

Ramai yang takut bila mendengarkan perkataan bius. Itu belum lagi sebut perkataan "bedah". Bius dan bedah - kedua-duanya menggambarkan seseorang yang bertugas di dewan pembedahan dalam keadaan berpakaian menutupi kepala, hidung dan mulut.Sesetengahnya menganggap, dibius tidak ubah seperti menghampiri saat-saat kematian.Mereka takut tidak bangun untuk selama-lamanya. Sayangnya, mereka juga takut untuk bertanya doktor lebih lanjut tentang perkara ini.

Bagi yang sudah melaluinya, mereka mandakwa berada dalam keadaan separuh sedar dan mendengar butir-butir percakapan doktor dengan jururawat semasa pembedahan dibuat.Bagi pakar bius pula, perkara begitu tidak menjadi sesuatu yang pelik kerana sesetengah prosedur memerlukan pesakit sedar seketika dalam proses pembedahan bagi menilai keberkesanannya.

Bagi setiap pembedahan yang hendak dilakukan,pakar bius adalah sangat penting.Ini kerana mereka berperanan dalam memastikan pesakit berada dalam keadaan sepatutnya semasa menjalani pembedahan.Pakar anestetisia atau anestesiologis adalah gelaran yang diberikan kepada doktor pakar dalam bidang pembiusan. Mereka bertanggungjawab memastikan pesakit tidak berasa sakit dan selamat semasa mahupun selepas pembedahan.

Umumnya bidang tugas pakar bius terbahagi kepada 4 peringkat iaitu membius pesakit yang memerlukan pembedahan sama ada pembedahan kecemasan atau elektif. Menjaga serta merawat pesakit kritikal di ICU yang memerlukan alat sokong hayat seperti mesin pernafasan dan alat-alat pemantauan khusus atau berterusan, serta memerlukan ubat-ubatan tertentu yang tidak mungkin digunakan di wad-wad biasa. Merawat pesakit yang mengalami kesakitan akut atau kronik akibat pembedahan atau trauma atau, kesakitan semasa kelahiran dan juga akibat kesakitan kanser yang berpanjangan. Seterusnya sebagai resusitator iaitu yang berperanan bagi memulihkan kembali seseorang yang kelihatan telah mati kepada pesakit yang mengalami serangan cardiorespiratory.

Pembiusan biasanya dijalankan bermula sehari sebelum waktu pembedahan iaitu di mana pakar bius wajib melawat para pesakit yang memerlukan pembedahan.Ini bagi memastikan para pesakit yang akan menjalani pembedahan selamat, semasa dan juga selepas pembedahan. Lawatan ini amat penting dan mesti dijalankan oleh doktor yang akan memberi pembiusan.Adalah menyalahi etika kedoktoran sekiranya doktor memberi pembiusan tanpa terlebih dahulu melawat atau memeriksa pesakit. Adalah satu kesalahan sekiranya doktor membiuskan pesakit tanpa terlebih dahulu melawat atau memeriksa pesakit kerana sesetengahnya mungkin mempunyai kesan interaksi yang bahaya dengan ubat pembiusan. Selain perubatan, pakar bius juga memerlukan pengetahuan mendalam tentang bidang farmakologi dan bidang2 yang berkaitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan