Rabu, 5 Ogos 2009

Penjagaan Pesakit Ketika Pembedahan

Apa jua teknik bius yang digunakan, pesakit yang sedang dibedah hendaklah dijaga dengan sepenuh perhatian setiap masa. Malah, adalah menjadi kesalahan pakar bius meninggalkan pesakit semasa dalam pembiusan walaupun seminit kerana dalam tempoh beberapa saat pun sebarang kemungkinan boleh berlaku terhadap pesakit. Tekanan darah, tahap oksigen, nadi, suhu badan dan paras gula pesakit perlu dipantau setiap masa dengan menggunakan peralatan canggih dan terkini.

Apa-apa sahaja yang berlaku terhadap pesakit serta-merta akan dikesan dan tindakan sewajarnya diambil dengan segera.Apatah lagi jika pembiusan yang melibatkan pesakit yang teruk seperti kecederaan di kepala, pendarahan dalam perut atau dada, pesakit yang datang dengan pelbagai kecederaan atau pesakit yang dibius mengalami jangkitan kuman yang serius. Mereka ini memerlukan penjagaan yang lebih rapi di bawah perhatian dua atau lebih pakar bius di bawah pemantauan yang lebih invasif.

Pendarahan yang teruk semasa pembedahan besar memerlukan kecekapan dan kemahiran yang tinggi daripada pakar bius.Oleh itu, pakar bius bertanggungjawab untuk memastikan cecair tubuh sama ada darah atau cairan garam sentiasa diganti mengikut keperluan pesakit setiap ketika. Begitu juga dengan fungsi organ-organ seperti buah pinggang, hati dan lain-lain, dijaga dan diawasi dengan teliti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan